Teori Kerjaya Islam ini telah cuba dibangunkan oleh Sidek Mohd Noah (Sidek Mohd Noah, 2002). Teori ini melihat kerjaya sebagai satu kepentingan material dalam aktiviti kehidupan manusia di muka bumi. Tanpa asas kerjaya yang mantap dan kukuh, mungkin keseimbangan antara fitrah semulajadi manusia sama ada dari segi jasmani dan rohani atau antara mental dan emosi akan terganggu. Allah disamping menyuruh manusia beribadah kepada-Nya dengan tekun dalam masa yang sama menyeru manusia berusaha mencari rezeki yang halal. Bekerjaya adalah sunnah para Rasul terdahulu tanpa mengira taraf pekerjaan tetapi yang penting ianya adalah pekerjaan yang halal.
Bekerjaya dalam Islam adalah salah satu ibadah
dan merupakan amal soleh dengan syarat pekerjaan itu tidak melibatkan
perkara yang haram atau maksiat, ia dilakukan dengan niat yang suci
mengandungi matlamat dan objektif yang diredai Allah, dilakukan dengan
tekun dan cekap, dilakukan dengan mematuhi piawian syariah Islam dan
tidak mengabaikan kewajiban ibadah khusus seperti solat dan lain-lain.
Dua
elemen asas dalam kerjaya Islam yang tidak dipunyai oleh teori-teori
kerjaya Barat ialah kemantapan rohani dan pengetahuan, kemahiran dan
pengalaman.
- Kemantapan rohani dibentuk melalui cara niat yang baik, keazaman yang kuat, kesabaran yang tinggi, bertawakal kepada Allah dan istiqamah dalam pekerjaan.
- Elemen pengetahuan pula menuntut setiap individu yang bekerja mencari ilmu pengetahuan yang berkaitan kerana ilmu pengetahuan dikaitkan dengan darjat dan kualiti kerja seseorang. Islam menuntut supaya seseorang itu mengambil berat tentang kemahiran dan pengetahuan dalam bidang pengurusan agar kerja yang dilakukan itu dapat dilakukan dengan baik dan sistematik. Setelah memiliki pengetahuan, kemahiran dan pengalaman individu perlulah tahu tentang cara dan kaedah untuk melaksanakan pekerjaan itu.
Mengenai
faktor-faktor pemilihan kerjaya, pengkaji berpendapat Islam tidak
menolak faktor-faktor yang telah dikemukakan oleh para pengkaji Barat.
Faktor yang boleh diterima Islam ialah seperti faktor genetik,
pendidikan, pembelajaran dan persekitaran. Apa yang tidak menjadi
pertimbangan para pengkaji Barat ialah faktor agama.
Jesteru itu,
pemilihan kerjaya Islam meletakkan faktor agama sebagai penentu akhir
perkembangan dan pemilihan kerjaya individu. Faktor agama menentukan
sama ada sesuatu pekerjaan itu halal, haram dan syubhah. Disamping itu,
teori kerjaya Islam memberi penekanan yang seimbang antara kejayaan dan
kepuasan duniawi dan akhirat, bukan semata-mata kejayaan di dunia sahaja
seperti mana yang ditekankan oleh teori kerjaya Barat.
No comments:
Post a Comment