Wednesday 25 April 2012

Sejarah Perkembangan Kaunseling di Malaysia

Pada laman kali ini kita akan membicarakan tentang sejarah bidang kaunseling ini di tempat kita sendiri. Malaysia,Yang dahulunya disebut Malaya. Yang bernenek moyangkan orang Melayu,kaum melayu.Sesungguhnya, bimbingan dan nasihat telah lama bertapak dalam diri masyarakat melayu. Ini adalah dipengaruhi oleh kebudayaan masyarakat melayu yang saling tolong menolong diantara satu sama lain. Bimbingan dan kaunseling memainkan peranannya sejak Tanah Melayu bergelar Malaya lagi. Dalam berita Bimbingan dan Kaunseling yang diterbitkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia pernah mencatat bahawa usaha dalam bimbingan dan vokasional di Malaya telah bermula sejak tahun 1939, dimana satu buku bertajuk ‘ A Guide to Career in Malaya for parent’s, teachers and pupils’ telah dikeluarkan oleh Jabatan Pelajaran Negeri-Negeri Selat dan Negeri Melayu Bersekutu. Profesion kaunseling berkembang dan tersebar selepas tercetusnya Perang Dunia ke-2 sehingga tahun 1959.

Pada tahun 1960,Kementerian Pelajaran telah mengeluarkan surat pekeliling berkenaan dengan bimbingan dan kaunseling. Pada tahun 1961, Kementerian Buruh telah mengeluarkan sebuah buku bertajuk ‘ Handbook Facilities in the Federation of Malaya’. Terdapat banyak panduan pekerjaan dan kerjaya diterangkan. Sebuah Jawatankuasa Penyelaras Bimbingan dan vokasional ditubuhkan dan jawatankuasa ini telah memanggil seorang pakar rundingan dari luar Negara yang bernama Russel K. MacKenzie yang merupakan seorang pakar Rancangan Colombo untuk membantu kerajaan mengembangkan bimbingan dan kaunseling di Malaysia. Beliau telah melatih beberapa orang pengelola dari jabatan-jabatan pendidikan negeri berkenaan dengan aspek bimbingan. Hasil dari latihan tersebut,Dewan Bahasa dan Pustaka telah menghasilkan sebuah buku panduan yang bertajuk ‘ Perkhidmatan dan Panduan di Sekolah ’ pada tahun 1966.

Beberapa perintah am telah dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia seperti Surat Pekeliling KP 5209/30/(30) yang mengarahkan Pengarah Pelajaran Negeri supaya semua guru besar memberikan kemudahan tempat bagi aktiviti bimbingan dan panduan di sekolah masing-masing. KP 5209/35/(40) pula, telah mewajibkan setiap sekolah rendah dan menengah melantik seorang guru bimbingan. Surat Pekeliling KP5209/30/(13) serta Surat Pekeliling Ikhtisas bil. 5/1976,menggesa kepada semua Pengarah Pelajaran di seluruh negeri bagi mewajibkan penubuhan kegiatan kerjaya dan panduan di setiap sekolah. Beberapa kemudahan seperti bilik darjah, guru khas yang mengelolakan tugas-tugas dalam membimbing kerjaya pelajar di setiap sekolah.

Pada tahun 1969,hasil usaha sama dengan UNICEF, seramai 275 orang guru telah dipilih bagi menghadiri satu kursus yang di anjurkan oleh UNICEF bagi memberi pendedahan mengenai bimbingan selama enam hari di Maktab Perguruan Ilmu Khas, Cheras. Kementerian turut menjalankan satu seminar selama tiga hari berhubung dengan panduan dan bimbingan kerjaya di Sekolah Menengah Bukit Bintang, Petaling Jaya. Kelemahan disini ialah, usaha dalam menerapkan bimbingan dan kaunseling hanya tertumpu pada sekolah-sekolah yang berada di pusat-pusat bandar sahaja tetapi,sekolah –sekolah di bahagian pendalaman terus ketinggalan kerana kurangnya pendedahan mengenai dasar kerajaan ini.

Beberapa garis panduan telah diperkenalkan kepada para guru bimbingan bagi memudah serta memberikan kesan yang baik kepada tugas Guru-guru bimbingan. Guru-guru bimbingan ini juga telah atau hendaklah dilonggarkan daripada bebanan tugas kepada tidak lebih daripada 25 waktu seminggu serta terkecuali daripada segala kegiatan kumpulan yang lain. Ini membolehkan guru-guru bimbingan ini menumpukan sepenuhnya kepada tugas membimbing pelajar dalam hal-hal kerjaya. Dalam Surat Pekeliling KP 5209/35/(4) juga telah menyenaraikan 11 garis panduan tugas guru bimbingan.

Walaupun guru-guru bimbingan telah diberikan kelonggaran dan kemudahan, terdapat juga masalah yang dihadapi iaitu kekurangan guru di kawasan-kawasan luar bandar yang memaksa guru bimbingan ini untuk mengajar dalam akademik. Selain itu, kurangnya panduan yang secukupnya serta penerangan yang jelas dalam melaksanakan tugas membimbing di kalangan guru bimbingan merupakan satu masalah dalam mencapai matlamat dalam usaha membimbing pelajar. Kesedaran akan pentingnya kaunseling telah bercambah apabila sekumpulan ahli akademik dan pensyarah psikologi telah menubuhkan satu persatuan iaitu Persatuan Bimbingan Vokasional Malaysia (MAVOGA) yang dipengerusikan oleh Datuk Yeap Kee Aik pada tahun 1973. Persatuan ini membantu para pelajar dalam hal-hal vokasional serta membimbing mereka mencari pekerjaan dan kerjaya yang sesuai.

Pada tahun 1979, Persatuan Kaunselor Malaysia (PERKAMA) telah ditubuhkan yang berpusat di Institut Teknologi MARA,Shah Alam. Beberapa pertubuhan lain juga yang turut menjalankan khidmat kaunseling seperti BeFrienders dan Woman Aids. Galakan mengenai kaunseling kini semakin menonjol dimana beberapa buah institusi pengajian tinggi turut membekalkan para kaunselor. Maktab Perguruan Ilmu Khas mengendalikan kursus yang bertaraf sijil selama setahun untuk para kaunselor di sekolah. Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pula,menyediakan kursus peringkat diploma dan Universiti Putra Malaysia (UPM) pada peringkat ijazah. Ini merupakan satu perkembangan yang baik untuk khidmat kaunseling di Malaysia.

Sumber : perkama.org.my
Gambar sekadar sampingan
PERKAMA di media

No comments: